Perdana Menteri berkata, pada hari ini, negara berjaya mewujudkan sistem pengangkutan awam yang cekap, boleh dipercayai, berpatutan dan mesra pelanggan sekali gus mampu memberikan pulangan besar kepada ekonomi negara.

Menurut beliau, berdasarkan kajian kepada penjimatan dalan masa perjalanan pengguna dan kendalian kenderaan di samping nilai penjimatan masa yang dinikmati oleh bukan pengguna serta impaknya kepada alam sekitar, pulangan ekonomi yang dijana Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad pada tahun 2016 dianggar bernilai RM13.3 bilion dan dijangka mencapai RM17 bilion.

“Jumlah tersebut baru pada peringkat penggunaan pengangkutan awam oleh rakyat kira-kira 21 peratus sahaja. Mengikut unjuran, nilai sumbangan ekonomi kepada negara apabila 21 peratus itu ditingkatkan 40 peratus menjelang tahun 2030, maka nilainya akan terus meningkat jauh lebih besar. Saya percaya nilai pulangan ekonomi kepada negara adalah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sepetang bersama warga kerja Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE