Perdana Menteri berkata, lambakan media sosial hari ini telah banyak mempengaruhi minda dan sikap golongan muda dan kebanyakan cerita yang disebarkan menerusi aplikasi tersebut sengaja direka bagi menimbulkan rasa benci terhadap kerajaan.

“Kenyataan saya antara yang sering disalahertikan misalnya ketika saya menemui Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih baru-baru ini apabila saya mengatakan ‘I come here to strengthen the US economy’.

“Apabila saya berkata demikian maksud saya bukanlah kita ini sebagai penyumbang dana kepada ekonomi AS tanpa kita menerima manfaat dari negara tersebut. Kita bukanlah peminta sedekah tetapi kehadiran kita ke negara itu bagi membuktikan Malaysia sebagai negara berjaya yang boleh menjadi pesaing glo­bal secara signifikan,” katanya.

Beliau berucap demikian da­lam majlis Minum Petang Bersama Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden Pertama yang juga Pengarang Berita BH, Sariha Mohd. Ali.

Seramai 200 wartawan wanita daripada generasi lama dan baharu hadir dalam majlis tersebut bagi meraikan ulang tahun ke-46 penubuhan persatuan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Najib turut menjelaskan pembelian lapan buah kapal terbang Boeing 787 Dreamliner baru-baru ini adalah keputusan Malaysia Airlines Berhad (MAS) bagi membolehkan syarikat penerbangan negara itu menjadi lebih tersohor di mata dunia.

“Semalam saya baca berita di Turkish Online bahawa kerajaan Turki membeli 40 buah pesawat Boeing bagi meningkatkan industri penerbangan negara tersebut, tapi malangnya kenyataan saya tetap diputar-belit oleh pembang­kang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Na­jib berkata, dalam konteks sebuah negara maju, wanita Malaysia kini semakin seimbang malah kejayaan mereka cukup membanggakan apabila telah mempelopori bidang yang dahulu didominasikan oleh golongan lelaki seperti sains nuklear, perubatan serta minyak dan gas.

Kata beliau, atas sebab itu kerajaan yakin menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50), golongan wanita mampu mencapai tahap ‘par excellence’ kerana memiliki sifat semula jadi yang lebih fokus dalam pembelajaran dan pengurusan serta disiplin diri yang tinggi.

Najib memberikan contoh dua wanita tempatan berjaya iaitu Prof. Emeritus Dr. Mazlan Othman yang menjadi Pengarah di Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas di Vienna, Austria dan Ketua Sukarelawan PBB, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.

Dalam masa sama katanya, beliau turut akan mempertimbangkan sumbangan dana kepada Pertama bagi menjalankan aktiviti bermanfaat termasuk mengadakan kursus-kursus berkaitan dengan teknologi terkini bagi memintas penularan berita palsu selain mempercepatkan penghasilan berita menggunakan pelbagai platform media baharu.