Itu kandungan e-mel yang diterima daripada Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur minggu lepas memaklumkan yang penulis terpilih sebagai pemegang obor bagi sukan berprestij di rantau ini.

Menerima e-mel ber­kenaan merupakan sesuatu yang tidak disangka-sangka penulis.

Setelah membacanya, perasaan gembira berkobar-kobar kerana bukan mudah untuk terpilih antara ribuan permohonan pemegang obor yang dibuka secara dalam talian pada awal tahun ini.

Ini kerana kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah 16 tahun lalu.

Lalu penulis memberikan persetujuan untuk membawa ‘semangat cahaya’ KL2017 itu yang berlangsung di Putrajaya semalam.

Hari dinanti sudah tiba, pada 11 Ogos tepat pukul 9 pagi, larian obor yang bermula dari Dataran Gemilang menuju ke Masjid Putra iaitu lokasi yang penulis perlu membawa nyalaan api semarak Sukan SEA Ke-29 itu ke hentian seterusnya, Kementerian Kewa­ngan.

Bagi kami di hentian Masjid Putra termasuk penulis sendiri, pembawa obor terdiri daripada 12 orang dengan masing-masing perlu menunggu giliran dari nombor satu hingga seterusnya.

Ketika pegawai teknikal la­rian meniup wisel sambil berkata, “Pembawa obor pertama” dan seterusnya tiba giliran penulis iaitu kesembilan disebut, perasaan gementar dan gemuruh mula timbul.

Ketika giliran kesembilan dipanggil, penulis te­rus mencapai obor itu lalu secara tiba-tiba terus menyusup dalam hati roh sema­ngat KL2017 dan semarak kesukanan.

Benarlah kata-kata pe­gawai Kementerian Belia dan Sukan yang memberi taklimat tempoh hari, apabila kita pegang obor, kita akan terasa semangat yang lain.

Walaupun hanya dapat memegang obor selama dua minit, tetapi penulis berasa bangga kera­na akhirnya impian yang sukar direalisasikan itu dapat dilaksanakan jua.

Kesimpulannya, Larian Obor Sukan SEA yang dijadikan acara wajib menjelang temasya sukan itu bukan hanya sekadar tradisi, tetapi ia membangkitkan perasaan cintakan tanah air dan mencetuskan perpaduan.

Obor itu dibawa ke seluruh negara dengan merentasi Laut China Selatan oleh individu tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan mahu pun orang kurang upaya.

Penulis menyaksikan semua diberi peluang membawa obor. Inilah wajah Malaysia sebenar!