Itulah antara pengalaman yang ditempuh Ramli Ibrahim, 62, sepanjang lima tahun bertugas sebagai Pembimbing Ibadah Haji Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Ketika berkongsi pengalamannya kepada wartawan Malaysia di sini semalam, Ramli berkata, apa yang dilalui dalam menangani jemaah haji Malaysia merupakan ilmu berharga untuk beliau.

“Pengalaman mereka adalah satu ilmu kerana ia akan menjadi panduan kepada saya bagi me­nguruskan jemaah,” katanya.

Ramli berkata, terlalu banyak pengalaman yang diperolehi dan walaupun ada sesetengahnya menyentuh perasaan namun beliau tetap gembira melaksanakan tanggungjawab menguruskan tetamu-tetamu Allah tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, apa juga masalah yang dihadapi oleh jemaah perlu ditangani secara bijaksana supaya sebarang masalah dapat diselesaikan secara baik.

“Contohnya, saya pernah didatangi dua jemaah yang mahu mencari bilik lain apabila salah seorang rakan sebilik mereka sudah tiga malam membawa isteri­nya ke bilik.

“Saya pergi ke bilik tersebut dan menasihatkan lelaki terlibat supaya tidak berbuat demikian. Keadaan itu berlaku kerana ramai jemaah tidak menjaga nilai haji mabrur,” katanya.

Sementara seorang lagi Pembimbing Ibadah, Yusnah Yusuf pula menyifatkan, tugas mereka bukan sahaja menangani isu ibadah jemaah haji sahaja tetapi merangkumi banyak perkara termasuklah soal hubungan suami isteri dan rakan sebilik.

“Sebab itulah saya berpendapat pembimbing ibadah perlu menambah ilmu dari semasa ke semasa termasuklah dalam soal komunikasi,” katanya.

Beliau berkata, ada ketika pembimbing ibadah terpaksa menyatakan sesuatu yang mungkin sukar diterima oleh jemaah.

“Dalam satu kes, saya terpaksa berhati-hati bagi memaklumkan kepada seorang jemaah warga emas bahawa haji yang dilaksanakan tidak sah,” katanya.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran Yusnah bersyukur kerana terpilih untuk melaksana­kan tanggungjawab tersebut sejak 2005 kecuali pada tahun 2011 kerana masalah pelepasan cuti daripada majikan.