Perkara itu diputuskan dalam satu pertemuan khas antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan pengurusan institusi terbabit di Istana Arau dekat sini, hari ini.

Menurut Setiausaha MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor, pertemuan tersebut dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Katanya, turut serta Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Noor Mushar.

“Pertemuan ini adalah bertitik tolak daripada isu yang timbul pada masa kini, berkaitan penangkapan beberapa individu warga negara asing yang dikatakan terlibat dengan keganasan di Perlis, di atas titah Raja Muda Perlis.

“Ketua Polis Perlis diundang untuk memberikan pandangan dan nasihat keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd. Nazim, kes itu dianggap terpencil dalam kalangan ribuan warga negara asing yang berada di negeri ini dalam sektor pendidikan dan pekerjaan, sejak sekian lama.

Beliau turut menjelaskan, institusi terbabit, mempunyai seramai 119 orang warga negara asing daripada 19 buah negara sementara yang terlibat dalam tangkapan adalah hanya enam orang.

“Sementara itu sehingga kini, guru, warga asing lain dan 25 orang pelajar tempatan lain yang berdaftar, tiada sebarang rekod dan laporan penglibatan dalam aktiviti keganasan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mohd. Nazim seterusnya memberitahu, selain menghentikan serta-merta operasi di pusat pengajian terbabit sehingga ke satu tarikh ditetapkan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan tapisan keselamatan terhadap setiap individu yang terbabit di institusi berkenaan.

Katanya, perkara seterusnya, pihak pengurusan agama di institusi berkenaan adalah dituntut melaksanakan pengajian dengan pendekatan yang sederhana serta mengambil kira latar belakang setempat.

Beliau seterusnya menegaskan, dengan kenyataan tersebut, diharapkan tiada pihak yang mengaitkan negeri ini dengan isu keganasan setelah diberikan kepercayaan yang sepenuhnya kepada pihak PDRM untuk melipat gandakan pemantauan keselamatan di Perlis. - UTUSAN ONLINE