KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

Gesaan ini juga bertujuan untuk melindungi kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

Timbalan Presidennya Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran sains dan matematik telah terbukti berjaya selama lebih 30 tahun.

“Kerajaan perlu membezakan kepentingan untuk menguasi bahasa Inggeris dengan keperluan memartabatkan bahasa Melayu sebagai tunjang dan jati diri masyarakat di negara ini.

“Semua tamadun dunia dan sejarah membuktikan bahawa kemajuan dicapai melalui upaya bahasa sendiri yang dijulang oleh bangsanya, bukan dalam bahasa lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga mendakwa pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai satu pembaziran.

“Kegagalan PPSMI telah terbukti dan akhirnya dibatalkan setelah berbilion perbelanjaannya tetapi kini diberi ‘wajah palsu’ yang baharu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan nama ‘timangan’ Dual-Language Programme (DLP).

“Dasarnya sama iaitu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tetapi kononnya secara sukarela dan pilihan ibu bapa, bagaimana KPM boleh berlepas tangan jika berlaku sebarang masalah atau kegagalan,” soalnya.

Tambah beliau, usaha perubahan yang dilakukan oleh kerajaan diharapkan tidak mengenepikan asas jati diri dan citra terutama bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi. - UTUSAN ONLINE