Kumpulan Utusan dalam kenyataan memberitahu, penyerahan terakhir itu diagihkan kepada wakil-wakil dari Sekolah Kebangsaan Bukit Bangkong, Sepang.

Menurut kenyataan itu, penyerahan yang dilakukan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil adalah kesinambungan daripada pemberian komputer tablet kepada para guru di Sarawak dan Kuala Lumpur yang dilaksanakan pada tahun lalu.

“Berdasarkan pengiraan, sumber Utusan memaklumkan bahawa hampir kesemua daripada kira-kira 62,000 guru telah menerima tablet mereka sejak agihan dimulakan di Pulau Ketam dan daerah Sabak Bernam pada 17 April lalu,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, tablet yang menjadi milik peribadi guru merupakan pemberian kerajaan Persekutuan sebagai tanda penghargaan kepada golongan tersebut atas jasa dalam mendidik anak bangsa.

“Dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi sememangnya penting bagi guru diberi kemudahan demikian untuk meningkatkan kompetensi selain menjadi pemangkin untuk terus kreatif dan inovatif,” jelasnya.