Penerokaan haram itu juga disahkan turut melibatkan sebahagian dari tanah milik MB Inc selain tanah milik kerajaan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin mengakui, pihaknya merancang untuk membangunkan projek hartanah bercampur di kawasan berkenaan bagi menawarkan kediaman kepada rakyat.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan negeri juga mengesahkan tanah milik MB Inc dan tanah kerajaan yang terjejas itu tidak terletak dalam kawasan hutan simpan, malahan tidak pernah digazetkan sebagai kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong.

"Siasatan mendapati peneroka-peneroka haram ini telah menanam anak-anak pokok kelapa sawit di lereng-lereng tanah bukit yang telah diteroka secara haram. 

"Kali terakhir pihak MB Inc meninjau kawasan Bukit Kledang ialah pada 19 Januari lalu dan ketika itu tiada sebarang aktiviti penerokaan haram berlaku di kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap laporan media semalam yang memetik kebimbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar ekoran kerja-kerja pembersihan tanah di kawasan berkenaan dikhuatiri boleh menyebabkan tanah runtuh  berikutan bukit tersebut terletak berdekatan kawasan perumahan dekat Jalan Ipoh-Lumut.

Anuar berkata, susulan siasatan dan tinjauan turun padang hari ini, pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah mengarahkan semua kerja-kerja tanah di tapak berkenaan dihentikan serta-merta.

Malahan katanya, siasatan juga telah dimulakan bagi mengambil tindakan tegas ke atas pihak tidak bertanggungjawab selain mengarahkan kawasan yang terdedah itu dibaik pulih.

"MB Inc amat kesal dengan aktiviti penerokaan haram ini yang seolah-olah mahu mencabar pihak berkuasa.

"Lebih-lebih lagi, aktiviti pencerobohan ini dikesan dalam tempoh 10 hari selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri bagi mengambil tindakan ke atas aktiviti pencerobohan tanah milik kerajaan dan syarikat-syarikat berkanun negeri," katanya. - UTUSAN ONLINE