AZIM KASIM

Wakil peneroka, Azim Kasim, 69, berkata, dia hanya mengetahui mengenai berita penahanan enam individu termasuk dua da­ripada mereka bergelar Datuk itu pagi ini selepas membaca akhbar sebelum memaklumkan kepada peneroka lain.

Katanya, peneroka juga merasa tertipu kerana selama ini mereka hanya mengetahui tentang kewujudan dua syarikat sahaja LBCN Development Sdn. Bhd. (LBCN) dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. (Mujur Zaman) yang terlibat dalam proses jualan membabitkan kos sebanyak RM1.18 bilion itu.

“Kami (peneroka asal tanah mukim Ijok) betul-betul terkejut. Saya baca berita itu hari ini, kemudiannya kawan-kawan lain menghubungi antara satu sama lain cakap perkara yang sama.

“Walaupun tanah dijual itu bukan lagi milik kami, tetapi kami masih lagi menuntut pampasan ke atasnya.

“Saya harap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan siasatan rapi mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Fadzil Ibrahim
FADZIL IBRAHIM

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Peneroka Asal Tanah Ijok, Fadzil Ibrahim menyatakan kesediaan untuk membantu SPRM menyiasat skandal penjualan tanah berkenaan sekiranya diperlukan.

Malah, katanya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak jika benar wujudnya salah laku dalam urusan berkenaan.

“Pihak peneroka sentiasa bersedia untuk membantu siasatan dan diambil keterangan oleh SPRM supaya perkara sebenar melibatkan nasib peneroka yang ditipu dan ditindas kerajaan ne­geri Selangor dapat diketahui semua pihak,” katanya.