Keadaan ini diburukkan lagi apabila hasil sawit turut berkurang pada masa ini dengan hanya mampu mengambil buah sekali sahaja dalam bulan ini sekali gus menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa bergantung dengan bantuan anak-anak untuk menyara kehidupan.

Berikutan itu, selepas ditolak hutang pinjaman rumah dan ta­nam semula, rata-rata para pene­roka di tanah rancangan itu hanya memperoleh pendapatan RM400 pada bulan ini.

Seorang peneroka dari Felda Jengka 23 di sini, Yusof Yaakob, 62, berkata, kejatuhan harga sawit kepada RM400 setan berbanding RM600 setan pada April lalu amat membebankan mereka yang hanya bergantung kepada hasil komoditi berkenaan untuk meneruskan kehidupan.

“Pada masa ini, keadaan memang teruk kerana hasil kelapa sawit yang berkurangan dan harganya rendah. Hasil diperoleh perlu ditolak pelbagai hutang dengan Felda dan pendapatan saya bulan ini hanya RM280 manakala yang lain kira-kira RM400 bergantung hasil tuaian.

“Selepas ditolak perbelanjaan seperti bil air dan elektrik, apa lagi yang saya ada untuk perbelanjaan selama sebulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Yusof, jika harga hasil sawit terus jatuh sehingga RM200 satu tan metrik, ia memberi kesan buruk kerana kemungkinan besar mereka bukan sahaja tiada pendapatan tetapi terpaksa pula membayar upah mengangkut sawit dan lain-lain.

Seorang lagi peneroka, Abdul Abdul Ghani, 63, pula berkata, dalam usia emas, adalah mustahil bagi mereka untuk mencari pekerjaan lain selain mengharapkan kepada hasil Felda.

“Pada masa ini, kebanyakan peneroka mengharapkan bantuan daripada anak-anak memandangkan hasil sawit yang tidak menentu. Saya boleh cakap rata-ratanya dapat dalam RM400 sahaja bulan ini. Di tanah rancangan lain, kalau lebih pun dalam RM500 sebulan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar berkata, keresahan dan bebanan golongan peneroka itu perlu diberi perhatian oleh Felda serta kerajaan.

Beliau berharap pengurusan Felda dan kerajaan dapat memberi perhatian serta melakukan sesuatu bagi membantu peneroka serta dapat memastikan harga kelapa sawit kembali naik.

“Dahulu, sekiranya pendapatan peneroka di bawah RM1,000, pengurusan Felda akan menambah bayaran yang dibayar kembali oleh peneroka apabila mendapat hasil yang lebih tetapi sekarang tiada lagi,” katanya.