Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah selaras dengan dasar kementerian yang tidak semata-mata memfokuskan terhadap pembelajaran tetapi juga ke­sinambungan pencapaian mereka selepas itu.

Malah katanya, go­longan itu juga akan diutamakan dalam pemberi­an Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) sebagai modal perniagaan mereka.

“Bagi kementerian, tidak guna mengadakan kursus berbagai jenis tetapi tidak dapat diaplikasikan dalam menjadikan penerima sijil ini sebagai usahawan. Kita hendak pastikan selepas mereka berkursus, peserta sekurang-kurangnya menjadi usahawan.

“Sebab itu kita laksanakan polisi kementerian iaitu selepas habis sahaja kursus, kita beri mereka peralatan. Kalau mereka ambil kursus menjahit, mungkin kita beri me­sin jahit untuk mereka memulakan perniagaan dari rumah,” katanya kepada pemberita selepas me­nyempurnakan Majlis Konvo­kesyen SKM-PPT KEMAS di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 213 peserta SKM-PPT telah menerima sijil dalam pelbagai bidang termasuk gubahan bunga, penyediaan dan pembuatan makanan, perkhidmatan estetik dan pembuatan pastri.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, daripada semua peserta yang menerima sijil hari ini, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada mereka memulakan perniagaan dan menjadi usahawan.

Kata beliau, mereka yang i­ngin melanjutkan pengajian pula boleh berbuat demikian di Akademi Kemahiran KEMAS Sri Iskandar, Perak untuk mendapatkan diploma.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut bergerak se­derap dengan peredaran semasa terutama dalam melahirkan modal-modal insan yang selaras dengan tuntutan semasa.

Kata beliau, dengan kepesatan kemudahan pengangkutan awam di negara ini termasuk per­khidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kementerian juga telah memper­kenalkan kursus baharu berkaitan kereta api di GiatMARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Menurutnya, kursus di GiatMARA itu diwujudkan menerusi kerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan telah memulakan pengambilan 750 pelajar pada Julai lalu di lebih 20 pusat GiatMARA seluruh negara.

“Manakala untuk UniKL, pada tahun lepas kita telah mulakan dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dan sebuah syarikat rel dari Jepun, Kyushu Railway Company (JR Kyushu).

“Tahun ini, UniKL juga memeterai MoU dengan syarikat kereta api dari China. Kita tidak mahu ketinggalan daripada segi apa yang terdapat kini di negara kita,” katanya.