Masing-masing merasakan diri cukup bertuah sekaligus memberikan perangsang untuk menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh.

Salah seorang penerima­nya, Norfaizini Mokhtar, 34, yang mengusahakan perniagaan biskut dan roti di Jalan Kampung Pondok di sini tidak menyangka urusan untuk mendapatkan geran MCash begitu cepat diluluskan iaitu tidak sampai sebulan.

Menurutnya, geran diluluskan setelah lawatan oleh Pihak Berkuasa Pelaksana­an Koridor Utara (NCIA) ke premisnya untuk melihat keperluan peralatan kegunaan perniagaannya dan dia menyediakan sebut harga peralatan yang diperlukan.

“Saya yang baharu me­ngambil alih perniagaan ini daripada ibu sejak dua tahun lalu memang sudah lama ingin menukar mesin pengan­dun tepung kerana ia telah berusia 30 tahun,” katanya.

Norfaizni berkata, dia menerima geran sebanyak RM18,500 untuk membeli mesin berkenaan di mana kini berjaya meningkatkan pengeluaran produk sehingga tiga kali ganda.

Sharifah Hasni Syed Hussin, 45 berkata, dia tidak menjangka kelulusan geran menerusi program ini bagi membolehkan beliau membeli mesin pengemas (packaging) untuk paket minuman keluaran Bugis Bone Enterprise.

“Peluang untuk saya mendapatkan geran melalui program ini diketahui setelah mengikuti satu seminar bersama dengan suami yang juga mengusahakan perniagaan ini,” katanya.

“Saya tidak jangka ia diluluskan dalam tempoh tiga bulan sedangkan sebelum ini sukar untuk mendapatkan geran dari pihak lain yang dilihat banyak birokrasinya,” katanya yang mengusahakan minuman ringan ini sejak 10 tahun bermula dengan gerai.

Beliau juga mengusahakan food truck yang menjual minuman dikenali ‘Bugis Coffee’ di sekitar pasar malam dan pasar tani di negeri ini.

Bagi Pengarah Urusan Aima Developement Sdn. Bhd., Mohd. Zuber Ahmad yang mendapat geran Program Dana Mudahcara TERAJU @NCIA menyifatkan ia sebagai sangat membantu usahawan bumiputera.

“Kami bertuah kerana mendapat geran ini tetapi ia perlu disambut dengan usaha yang lebih kuat lagi supaya hasrat program ini yang mahukan pesertanya berjaya menjadi kenyataan,” katanya.

Katanya, geran dari program itu sangat membantu dan memberikan semangat serta kekuatan untuk membolehkan syarikat harta tanah milik bumiputera mencapai kejayaan.