Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, sekiranya dirujuk, pihaknya juga bersedia memberikan pandangan dan nasihat kepada pihak berkaitan berhubung perkara tersebut.

“Jakim sedia memberikan khidmat nasihat termasuk untuk memeriksa skrip, kami ada garis panduannya.

“Tetapi itu bukanlah fungsi besar Jakim namun kami memberikan pandangan, komen atau apa yang perlu dielakkan oleh pihak tersebut jika diminta dan dirujuk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen ‘Jom Cinta Nabi’ di Balai Berita NSTP, Bangsar di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP), Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Tular di media sosial dan mendapat kritikan netizen ketika ini sebuah drama bertajuk Isteri Untuk Disewa disiarkan di sebuah saluran televisyen berbayar yang dilihat merendahkan martabat wanita dan isteri serta tersasar daripada nilai-nilai Islam.

Sementara itu, Mohamad Nordin berkata, sambutan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2018 bakal diadakan pada 20 November depan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula pukul 9 pagi.

Jelasnya, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dijadual berkenan mencemar duli hadir ke majlis tersebut.