Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Aziz Bakar berkata, perkhidmatan terbaharu dengan kerjasama kerajaan negeri diharap dapat membantu meningkatkan kedatangan pelancongan dari arah Selatan Semenanjung dan merancakkan kegiatan perdagangan.

Katanya, Terengganu mencatatkan permintaan perjalanan amat tinggi sejak AirAsia memulakan penerbangan pada 2002 dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dengan kekerapan tujuh kali seminggu yang kini meningkatkan kepada 28 penerbangan.

"Pada tahun lalu, kami mencatatkan lebih 420,000 penumpang yang terbang masuk dan keluar dari Terengganu dan tahun ini, kami menyasarkan lebih 500,000 penumpang membabitkan laluan ini.

"Negeri ini merupakan destinasi yang terkenal dengan pantai yang cantik di samping makanan tempatan yang lazat, justeru, melalui kerjasama ini, kami akan berusaha mempromosikan Terengganu sebagai sebuah destinasi yang mesti dikunjungi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Air Asia dengan kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini petang ini.

Aziz mewakili AirAsia manakala kerajaan negeri oleh Setiausaha Kerajaan, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, dan upacara itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, penerbangan terus bagi laluan itu dilihat mampu membuka pelbagai peluang dan kemungkinan yang bermanfaat untuk rakyat.

Katanya, malah pemilihan Johor Bahru itu disifatkan tepat kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai turut mempunyai penerbangan terus ke Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Sibu, Miri, Jakarta dan Guangzhao. - UTUSAN ONLINE