Katanya, penerbangan terus dijangka menggalakkan kedatangan pelancong dari China dengan 80 peratus penumpang dalam pesawat menjadi indikator kejayaan inisiatif itu.

“Perjanjian awal menggariskan bahawa penerbangan bagi laluan ini akan dibuat setiap hari Rabu dan Ahad dengan waktu yang akan ditentukan mengikut permintaan pasaran dan kelulusan Kerajaan Hong Kong,” katanya dalam sidang akhbar selepas MoU antara STB dan Hong Kong Airlines di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif STB, Datuk Ik Pahon Joyik dan Timbalan Pengurus Besar Pembangunan Per­niagaan-Komersial Hong Kong Airlines Limited, Johny Wan Cho Kin yang disaksikan Pengarah Pemasaran STB, Benedict Jimbau dan Pengurus Strategi dan Peranca­ngan-Komersial Hong Kong Airlines Limited, Andre Zhang Bin.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Hong Kong Airlines pula bertanggungjawab bagi operasi dan keselamatan penerbangan serta penyelenggaran kapal terbang.

“Selain itu, STB membantu Sarawak Tourism Federation (STF) dan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak bagi menjalinkan kolaborasi dengan ejen tempatan bagi memastikan penumpang yang setara ke Hong Kong.

“Pejabat Tourism Malaysia di Hong Kong dan Guangzhou juga akan membantu memasarkan pener­bangan terus ke Sarawak ini,” ujarnya.

Sementara itu, Cho Kin memberitahu, pihaknya berminat me­lakukan penerbangan terus dua kali seminggu dari Hong Kong ke Ku­ching dengan kapal terbang A320 yang mampu membawa 174 penumpang.

“Hong Kong Airlines merupakan subsidiari kepada Hainan Airlines yang diwujudkan pada 2006 dan Julai lalu dianugerahkan sebagai World Most Improved Airlines oleh Skytrax,” katanya.