Ketua Pengarah Penilaian dan Perhidmatan Harta, Kementerian Kewangan, Nordin Baharom berkata, pihaknya berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan negeri dalam mengesyorkan nilaian harta tanah yang berpatutan bagi pelbagai maksud seperti pengenaan premium untuk maksud tukar syarat, permohonan pemilikan tanah dan perlanjutan pajakan kecuali cukai taksiran yang dilaksanakan sendiri oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penilaian sesuatu harta tanah adalah berasaskan kepada nilai pasaran yang bergantung kepada permintaan dan penawaran sesuatu jenis harta tanah iaitu bukti-bukti jual beli terkini di sesuatu kawasan berkenaan.

“Salah satu pendekatan nilaian yang digunakan dalam menentukan nilai pasaran adalah menerusi kaedah perbandingan. Berdasarkan kaedah ini, jual beli yang sebanding di kawasan sekitar diambil kira dan dibuat pelarasan. Oleh itu, ingin ditekankan bahawa penentuan jumlah cukai harta tanah adalah tertakluk kepada polisi kerajaan negeri masing-masing khususnya melalui Kaedah Tanah Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan tersebut merupakan maklum balas kepada dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Ng Tien Chee di dalam sebuah akhbar tempatan pada Ahad lalu bahawa kenaikan cukai hartanah di Selangor adalah disebabkan taksiran oleh JPPH yang juga merupakan jabatan Persekutuan. -UTUSAN ONLINE