Perkembangan tersebut cukup bermakna kerana fosil yang ditemui menerusi Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014 di sekitar Sungai Chichir, Gunung Gagau, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu itu adalah lebih lengkap berbanding penemuan di negeri lain sebelum ini apabila menjumpai dua gigi, empat tulang dan beberapa kesan tapak kaki dinosaur.

Turut ditemui dalam ekspedisi yang disertai pensyarah dan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM); Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama-sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) pada 13 hingga 23 Oktober itu adalah fosil tumbuhan, kayu terpetri serta singkapan batu arang di Sungai Pertang.

Fosil gigi berukuran kira-kira 1.5 sentimeter yang ditemui dalam bongkah batuan konglomerat itu dipercayai milik spesies Iguanadon, dinosaur jenis herbivor iaitu pemakan tumbuh-tumbuhan.

Kesan tapak kaki yang panjangnya 15 sentimeter di atas bongkah pasir pula, selain milik Iguanadon dipercayai turut menjadi milik dinosaur daripada keluarga Theropod dan Sauropod.

Bagaimanapun, fosil tulang dalam singkapan batu pasir pebel di sungai tersebut masih belum dapat dipastikan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara itu berkata, penemuan tersebut akan memberi kekuatan dan nilai tambah ke arah merealisasikan usaha kerajaan negeri agar Tasik Kenyir diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan, seterusnya Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Alhamdulillah setelah penat me­redah hutan dan mendaki gunung dalam keadaan cuaca tidak menentu, akhirnya mereka membuat penemuan yang menggembirakan menjumpai fosil gigi, tulang dan kesan tapak kaki di sekitar Sungai Chichir,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jaba­tan Mineral dan Geosains, Datuk Yunus Abdul Razak.

Menurut Yunus, kajian lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti spesies haiwan yang lenyap beratus juta tahun lalu itu.

Katanya, kejaya­an itu terus memberi rangsangan kepada ahli kaji bumi untuk melakukan usaha pencarian kerana negara ini mempunyai beberapa tempat batuan berusia Jura Kapur antara 65 juta dan 203 juta tahun yang sesuai untuk haiwan itu hidup di sini.

“Dari hari pertama ekspedisi di Sungai Chichir lagi kita sudah menjumpai fosil, bagaimanapun penemuan itu tidak cukup kuat kerana tapak kaki serta gigi dinosaur pada bongkah batu itu mungkin jatuh atau dihanyutkan dari hulu sungai tetapi apabila menjumpai fosil dalam singkapan batuan di situ, sekali gus kita yakin kawasan itu merupakan lokasi kewujudan haiwan berkenaan,” katanya.

Awal tahun ini, Jabatan Mineral dan Geosains mendedahkan penemuan fosil tumbuhan kuno berusia antara 270 dan 340 juta tahun berhampiran kawasan projek pembinaan Empangan Paya Peda, Hulu Besut yang membawa kemungkinan kewujudan haiwan berkenaan.