Pengerusi Warisan Melaka, Dr. Mohd. Nasruddin Rahman berkata, persatuan itu yang bergerak aktif mencari dan melakukan kajian tapak-tapak warisan di negeri itu yakin penemuan tersebut akan menemui bukti baharu tentang penempatan lama berdasarkan penemuan batu nisan diperbuat daripada batu merah atau ‘laterite’ berbentuk belim­bing yang ditemukan di kawasan tersebut.

Katanya, pihaknya mensasarkan tempoh lima bulan bagi menyiapkan beberapa peringkat kajian di kawasan hutan berbukit dan terdapat tanaman getah seluas kira-kira 0.6 hektar iaitu lokasi penemuan tinggalan kubur dan artifak lama tersebut.

“Pihak Warisan dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia dan pakar penyelidik dari Perancis mula menjalankan kerja-kerja kajian di tapak itu sejak Sabtu lalu sehingga semalam dan hasilnya kami menemukan beberapa artifak dan lebih 100 kubur lama di Kampung Chohong.

“Susulan penemuan tersebut, Warisan mencadangkan beberapa perkara yang telah dan akan dilakukan di kawasan itu bagi mencari bukti terdapat tinggalan sejarah penempatan lama di kawasan tersebut yang terletak tidak jauh dari Sungai Kesang yang menghala ke Muar,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam sidang akhbar di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMM), Bukit Peringgit di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Warisan, Datuk Don Abdullah Hussin; Penyelidik Pusat Penyelidikan Perancis di Timur Jauh (EFEO), Prof. Dr. Daniel Perret; Pegawai Jabatan Muzium Malaysia, Shamsol Sahar dan Pegawai Petugas Khas Warisan, Mohd. Pizmil Marsaid.

Menurut Mohd. Nasruddin yang juga Pengurus Besar ISMM, penemuan tersebut adalah hasil maklumat yang diterima daripada penduduk kampung serta ahli Warisan yang melakukan kajian secara berterusan di kawasan itu dan hasilnya, mereka turut menemukan artifak seperti kubu, struktur bangunan serta tembikar dan cincin.

Beliau berkata, ini merupakan penemuan kali pertama kubur lama yang diperbuat daripada batu laterite dan pihaknya yakin ia mempunyai kaitan dengan tinggalan sejarah di Acheh, Indonesia kerana terdapat penemuan batu jenis itu di sana sebelum ini.

Bagaimanapun, penemuan batu nisan ‘laterite’ kali ini dalam jumlah yang banyak dan saiz kubur juga adalah normal iaitu antara satu hingga 1.5 meter panjang namun tiada sebarang tarikh atau tulisan pada batu nisan dan tinggalan artifak itu.

“Kita juga akan menjalankan kerja-kerja pendokumentasian di tapak penemuan tersebut sebelum meneruskan kerja arkeologi dan menaik taraf kawasan itu sebagai tapak produk pelancongan baharu sekiranya mendapat persetujuan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Don berkata, usaha Warisan melaksanakan hasil kajian di tapak warisan yang ditemukan itu adalah bagi mencari bukti awal kemungkinan wujud kerajaan atau tamadun lama sebelum kemunculan Melaka yang sebelum ini didakwa dibuka oleh Parameswara.

“Hasil kajian ini juga secara tidak langsung dapat membuktikan sama ada kesultanan Melayu Melaka wujud pada tahun 1400 atau sebelum daripada itu iaitu pada tahun 1262 Masehi,” katanya.