Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sebaik sahaja tamat tempoh pendaftaran kedua-dua program itu, tindakan yang sama seperti Enforcement Card (E-Kad) akan diambil terhadap PATI dan majikan yang gagal mendaftar.

“Jangan tunggu pada saat-saat akhir untuk membuat pendaftaran. Kita hendak pastikan majikan mengambil pekerja asing secara sah, jadi jangan lagi guna PATI dan jangan sewenang-wenangnya menyalahgunakan peluang yang ada untuk tujuan tertentu.

“Perlu diingatkan, Jabatan Imigresen masih mencari hampir 600,000 PATI yang salah guna pas dan yang telah lari daripada majikan. Semua ini kita akan pastikan diusir,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

Program 3+1 diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen untuk PATI dan majikan yang gagal mendapatkan E-Kad.

Menerusi 3+1, PATI hanya perlu membayar RM400 dan seterusnya membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke negara masing-masing.

Mereka yang melalui proses 3+1 akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia bagi satu tempoh tertentu, iaitu antara setahun dan lima tahun.

Sementara rehiring merupakan ka­edah untuk membolehkan PATI mendapatkan permit kerja yang sah termasuk yang telah memohon E-Kad dan sehingga hari ini seramai 129,000 PATI telah selesai proses rehiring.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif dan Jabatan Peguam Negara untuk membincangkan soal pendakwaan dan pelaksanaan mahkamah khas PATI.

“Bersama Jabatan Peguam Negara, saya akan berbincang mengenai aspek pendakwaan kerana Jabatan Imigresen mendapat maklum balas masyarakat meminta hukuman setimpal atau lebih berat seperti sebatan dikenakan terhadap majikan yang menggaji PATI.

“Pertemuan dengan Ketua Hakim Negara pada 22 Ogos ini, saya memfokuskan tentang kesesakan di mahkamah PATI memandangkan banyak kes yang dibi­carakan untuk pendakwaan,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan de­ngan Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung penambahan kaunter di pintu masuk lapangan terbang antarabangsa berikutan berlakunya pertambahan pe­nerbangan antarabangsa.

Menurutnya, usaha itu juga akan dilaksanakan di pelabuhan dan jeti yang merupakan pintu masuk negara. Justeru, Jabatan Imigresen akan melaksanakan gerakan penempatan semula anggota dan pegawai termasuk 500 anggota yang baharu ditambah.

Mustafar menambah, sehingga malam tadi, pihaknya menangkap seramai 8,886 PATI dan 224 majikan menerusi Op Mega.

“Kesemua yang ditahan akan dibawa ke depoh untuk proses siasatan dan pendakwaan,” ujarnya.