Penilaian terhadap angka pendapatan semata-mata bukanlah angkubah yang mutlak kerana keluarga daripada golongan pertengahan (M40) yang memiliki anak yang ramai juga wajar diberi pertimbangan seadilnya.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sekiranya golongan berkenaan layak maka kerajaan tidak boleh mengetepikan hak mereka atas alasan ingin mengembalikan semula semangat SBP.

"Merit permohonan mereka tidak wajar diketepikan sepenuhnya. Selama ini, sebahagian SBP yang cemerlang banyak dibantu oleh kumpulan ibu bapa M40 dan berpendapatan tinggi (T20) dalam segenap segi.

"Program kecemerlangan akademik, pengukuhan prasarana, program pengantarabangsaan dan sebagainya mendapat dorongan kewangan ibu bapa yang berkemampuan malah turut membiayai raka-rakan lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam hal yang sama, Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Kementerian Pendidikan juga perlu melihat keterlibatan ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai faktor utama proses pemilihan pelajar.

"Langkah ini pastinya dapat membantu kementerian meneruskan legasi kecemerlangan operasi SBP pada masa akan datang," katanya.

Mulai 1 Januari 2019, kerajaan memutuskan untuk mengembalikan semula semangat SBP iaitu untuk membantu pelajar-pelajar berpotensi daripada golongan B40 selari dengan dasar kerajaan baharu untuk membantu golongan kurang berada untuk memperoleh kemudahan pendidikan berkualiti. - UTUSAN ONLINE.