Pengarah Kanan Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional (MetMalaysia), Dr. Wan Azli Wan Hassan berkata, gempa susulan itu hanya berlaku pada kadar lemah iaitu sekitar 2.2 hingga 3.3 pada skala Richter dan dijangka berakhir dalam beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, jelasnya, para penduduk dan pelancong dinasihatkan tidak menjalankan aktiviti mendaki bukit atau gunung buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Gempa bumi susulan akan berkurangan dalam tempoh beberapa hari ini. Hal itu merupakan satu fenomena yang dipanggil after shock dan akan stabil dalam tempoh beberapa hari ini.

“Bagi penduduk yang tinggal di lereng-lereng bukit dan juga di kaki gunung, mereka boleh mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa di sana termasuk daripada agensi pengurusan bencana,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi mengenai 32 gempa susulan dengan kekuatan lemah antara 1.6 hingga 4.5 skala Richter berlaku di Sabah setakat pukul 2 petang semalam.

Menterinya, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, dua gegaran 4.3 pada skala Richter berlaku semalam manakala satu gegaran 4.5 pada skala Richter dikesan hari ini.

Gempa bumi sederhana kuat iaitu 5.9 pada skala Richter mengejutkan Ranau pada 7.15 pagi kelmarin dan gegaran turut dirasai di beberapa tempat.

Tambah Wan Azli, pihaknya meramalkan terdapat gempa susulan dalam tempoh beberapa hari akan datang, tetapi akan berkurangan.

Katanya, kejadian gempa susulan itu adalah merupakan satu tempoh untuk kestabilan selepas gegaran pertama berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Sabah, Jumaat lalu yang dianggap sederhana kuat.

“Setakat 9.45 pagi ini, terdapat kira-kira dua gegaran lemah yang berlaku pada 2.2 hingga 2.6 pada skala Richter,” ujarnya.