Inisiatif diperkenalkan kerajaan Pusat dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu ternyata memberi nafas baharu kepada ribuan penduduk di kawasan terlibat untuk menikmati kemudahan sama seperti penduduk di bandar.

Menerusi projek yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia itu, kira-kira 1,100 kediaman di Kuarters Polis Jasin, Taman Merbau Perdana, Taman Maju dan Felda Kemendor di sini kini mampu menikmati kelajuan internet mencecah satu gigabit sesaat (gbps) pada harga berpatutan.

Kakitangan awam dari Felda Kemendor, Yusrefah Mohamed Ningal, 48, berkata, usaha tersebut sangat dialu-alukan oleh masyarakat luar bandar yang turut tidak mahu ketinggalan dalam aktiviti ekonomi digital.

“Jika sebelum ini ramai antara kami merungut kerana capaian internet yang kurang bagus tetapi selepas ini masalah itu tidak lagi timbul walaupun kami menetap jauh dari kawasan bandar.

“Saya amat berharap usaha ini diperluaskan lagi ke semua kawasan luar bandar dan pedalaman kerana masih ramai lagi rakyat memerlukan akses internet yang pantas dalam aktiviti harian mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Maju, Nordiana Ab. Kadil, 34, berkata, dia tidak sabar beralih kepada pelan yang diperkenalkan TNB itu memandangkan pelan sedia ada dilanggannya kurang memuaskan.

“Kemudahan ini penting bagi saya sekeluarga malah kami banyak menggunakan capaian internet dalam aktiviti seharian termasuk menonton televi­syen, membeli dalam talian, membayar bil dan lain-lain.

“Capaian internet yang perlahan selalunya menyebabkan urusan kami terganggu baik dari segi kerja mahupun aktiviti ha­rian, “ ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pesara tentera dari Felda Kemendor, Amir Samad, 60, memberitahu, inisiatif itu amat berguna kepada rakyat terutama golongan muda yang kini ba­nyak bergantung dengan kemudahan internet bagi memudahkan urusan mereka.

“Golongan pelajar sekolah dan pelajar universiti amat memerlukan kemudahan internet berkelajuan tinggi seperti ini kerana tanpa capaian yang bagus, aktiviti pembelajaran mereka mungkin terganggu.

“Walaupun kurang penting bagi golongan warga emas se­perti saya, tetapi kemudahan ini penting untuk generasi masa hadapan kerana hari ini, hampir semua perkara boleh dilakukan secara dalam talian sahaja,” katanya.