Golongan itu mendakwa, masalah itu berlaku disebabkan wujud sikap pilih bulu atau kroni bagi tawaran membeli rumah seperti projek perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah yang dilaksanakan oleh kerajaan.


Seorang peniaga Pasar Tani di Tanah Rata di sini, Rosilawati Daud, 45, berkata, dia sudah menetap di sini lebih 20 tahun namun masih belum memiliki rumah.


Menurutnya, ini disebabkan projek-projek perumahan yang dibina oleh kerajaan untuk golongan sepertinya didapati dibeli oleh orang tertentu sehingga mengetepikan mereka yang sepatutnya berhak.


“Semuanya yang dapat orang kaya-kaya, selalunya yang dapat kroni, adik beradik mereka sampaikan yang duduk bawah (di luar kawasan Cameron Highlands) pun boleh dapat seperti di perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA).


“Kita duduk sini 20 tahun pun tak dapat nak beli rumah, yang dapat orang bawah. Itu antara masalah yang perlu diberi perhatian oleh bakal wakil rakyat Parlimen di sini,” katanya.


Sementara itu, pengundi di sini yakin calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd. Nor mampu memberikan perkhidmatan terbaik dan menyelesaikan masalah penduduk jika menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.


Sorang peniaga, Zainudin Ithnin, 51, berkata, Ramli sudah dikenali dalam kalangan penduduk di sini kerana pernah berkhidmat sebagai anggota polis di sini.


“Boleh dikatakan ramai di sini yang mengenali beliau dan kami sifatkan beliau adalah calon yang terbaik,” katanya.


Seorang pengundi, Izwan Zuraimi atau Bob, 34, berkata, walaupun dari keturunan Orang Asli, calon BN itu diyakini mudah diterima oleh kaum-kaum lain.


“Secara peribadi bagi saya tiada masalah untuk menerima calon BN ini yang berasal dari keturunan Orang Asli. Dia beragama Islam dan sebagai orang Islam sudah tentulah saya sokong, soal bangsa itu nombor dua,” katanya. - 
UTUSAN ONLINE