Pengerusi persatuan penduduk, Wong Boon Huei berkata, masalah itu berpunca daripada kerosakan lubang kumbahan di belakang kawasan kediaman berkenaan sehingga menyebabkan air kumbahan mengalir keluar sejak empat tahun lalu.

“Masalah lubang kumbahan najis ini telah pun dibaiki Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada Ramadan lalu, namun apa yang membimbangkan kami adalah tebing setinggi kira-kira tiga meter ini boleh runtuh bila-bila apatah lagi ketika hujan lebat.

“Justeru, persatuan berharap agar jalan tar yang mendap dan tebing yang dikhuatiri akan runtuh ini dapat dibaiki segera oleh pihak berkenaan kerana kami khuatir akan keselamatan penduduk di sini dan juga beberapa rumah dari Taman Saujana yang terletak di bawah tebing berkenaan ,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE