Malah, cadangan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican supaya FEALAC mengambil pendirian menerima kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai wadah kerjasama antara negara ke arah mencapai kestabilan dan pembangunan lestari diterima sebulat suara oleh kesemua 36 negara anggota dan di­ke­te­­ngahkan dalam Deklarasi Busan.

Beliau turut memberi penekanan berhubung kemajuan ekonomi tidak akan dapat dicapai tanpa kestabilan dan kese­lamatan antarabangsa,

“Dalam hubungan ini, Malaysia memandang pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara sebagai punca keresahan dan ketegangan di rantau ini dan seluruh dunia.

“Sehubungan itu, Korea Uta­ra digesa menghentikan sebarang pelancaran peluru berpandu, program nuklear dan peluru berpandu balistik, serta mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, demi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam mesyuarat tersebut.

Reezal Merican yang menge­tuai delegasi Malaysia ke mes­yuarat tersebut turut memberi penerangan mengenai Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang melatih sebanyak 11,645 pegawai dari 26 negara anggota FEALAC sejak program itu ditubuhkan pada 1981.

Pada masa sama, beliau menjemput pegawai-pegawai dari rantau Amerika Selatan untuk menyertai program tersebut.

Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-Wha turut mengiktiraf komitmen Malaysia dalam isu senjata nuklear di Semenanjung Korea dan memuji tawaran MTCP sebagai satu pendekatan untuk bekerjasama dan membangun secara bersama antara Asia Timur dan Amerika Selatan.

Hasil mesyuarat tersebut menyaksikan dua deklarasi dicapai iaitu Deklarasi Busan dan Pelan Tindakan Baru FEALAC.

Dalam pada itu, Reezal Merican turut berkesempatan bertemu Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in bagi menyampaikan penghargaan Malaysia atas kepemimpinan dan inisiatif Seoul dalam FEALAC.

Beliau juga mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Menteri Luar Colombia, Patti Londono Jaramillo bagi membincangkan usaha meningkatkan hubungan dua hala terutama dalam perdagangan dan kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Selepas penyertaannya dalam mesyuarat itu, Reezal Merican berlepas ke Seoul untuk menyam­but Hari Kebangsaan 2017 dan Hari Raya Aidiladha bersama-sama rakyat Malaysia di ibu negara Korea Selatan itu.