Presidennya, Salihin Abang berkata, pihaknya mendapati perakaunan semakin meningkat ke arah pengkomputeran awan dan dikuasakan dengan data besar dan proses menjadi semakin efisien dan mudah alih.

Katanya, hasilnya akauntan berhadapan dengan anjakan paradigma dari segi peranan dan cara kerja.

“Kedua, kita menghadapi cabaran dalam bentuk kondifikasi dan commoditisation (proses yang mana pembezaan terhakis oleh persaingan, yang membawa kepada pasaran komoditi dengan persaingan berasaskan harga) dalam pengetahuan profesional, automasi dalam proses dan metodologi serta peningkatan kepada kebergantungan kepada kepintaran buatan (artificial intelligence atau AI).

“Peralihan ini akan memacu permintaan kepada akauntan cekap teknologi dengan pemikiran kritis dan kemahiran mentafsir data,” katanya dalam Majlis Makan Malam Gala MIA sempena ulang tahun ke-50, di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim mencemar merasmikan majlis makan malam tersebut.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Institut Akauntan Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Sementara itu, bagi membantu ahlinya mengikuti perkembangan terbaharu dalam ruang digital, MIA menaik taraf ahlinya dengan meningkatkan kesedaran melalui artikel, syarahan dan latihan.

“Kami juga telah menubuhkan Pasukan Ekonomi Digital yang mengkaji impak teknologi terhadap kerjaya akauntan di Malaysia dan kami juga membuat persediaan untuk Pelan Tindakan Ekonomi Digital MIA bagi merancang strategi dan panduan pelaksanaan inisiatif digital,” katanya. - UTUSAN ONLINE