Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, kejayaan mempertahankan anugerah tertinggi dalam acara berprestij sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan baru-baru ini menjadi lebih manis kerana Terengganu turut meraih empat kemenangan lain.

Katanya, dalam majlis itu, Tokoh Guru Kebangsaan 2019 dianugerahkan kepada Nawi Ismail, 62, yang mempunyai pengalaman mengajar selama 37 tahun manakala Anugerah Most Exceptional Educator (VLE) diberikan kepada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Balai, Marang, Kamariah Awang di samping Paezah Abd. Halim (SK Jongok Batu, Dungun) muncul naib johan Guru Inovatif Kategori Prasekolah.

“Guru SK Kerteh, Kemaman, Raztia Abd. Razak pula menerima Anugerah Guru Adiwira diikuti guru bimbingan dan kaunseling (GBK) Sekolah Menengah Agama (SMA) Setiu, Nor Azimah Ismail mendapat Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s.

“Ini merupakan bilangan kemenangan paling banyak dalam sejarah sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang dimenangi oleh guru-guru Terengganu. Alhamdulillah dan syukur,” katanya di sini hari ini.

Sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi yang juga bekas Guru Cemerlang Gred Khas C dan berpengalaman mengajar subjek bahasa Melayu menerima wang tunai RM50,000, loket emas bernilai RM10,000 dan plak sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Hadiah itu disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Spice Arena, Bayan Baru di Pulau Pinang yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Menurut Shafruddin, lebih membanggakan apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut di Besut yang hanya merupakan sebuah sekolah kampung turut mendapat perhatian Maszlee atas kecemerlangannya dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear di Gyeongju, Korea Selatan pada Mei tahun lalu.

“Tahniah dan syabas kepada SMK Kuala Besut bahkan dalam ucapan Menteri Pendidikan menganggap pencapaian guru dan murid sekolah tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Ini juga merupakan kali keempat berturut-turut nama Terengganu disebut dalam ucapan Menteri Pendidikan sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Istimewanya, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) antara dua jabatan yang dijemput membuka gerai pameran dalam festival itu,” katanya.

Shafruddin memberitahu, JPNT sentiasa menyokong usaha yang digerakkan kalangan guru dan pelajar untuk merebut peluang menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa terutama dalam bidang inovasi dan kreativiti ke arah menjadikan anak negeri bersedia dengan cabaran global pada masa depan.

“Jika sebelum ini SM Imtiaz atau sekolah berasrama penuh yang berjaya di pentas tetapi bezanya di Terengganu kejayaan turut diraih sekolah harian biasa. Model Murid Berjaya Generasi Murid Terengganu Baharu (Gen-T) yang dirangka juga telah sebati dengan murid dan sekolah di samping diterima masyarakat,” katanya. - UTUSAN ONLINE