Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, perkara itu berdasarkan bantuan yang disalurkan kepada semua murid merangkumi pelbagai aspek termasuk pembelajaran, penyediakan bangunan sekolah dan infrastruktur serta banyak lagi sepanjang pengajian mereka.

“Kerajaan secara purata mem­belanjakan sebanyak RM8,900 untuk seorang murid setahun dan jumlah itu merangkumi pelbagai perkara dalam memastikan pendidikan terbaik diberikan kepada mereka.

“Pendidikan percuma itu ti­dak termasuk murid daripada keluarga berpendapatan tinggi yang mahu anak mereka bersekolah di sekolah swasta,” kata­nya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Kementerian Pendidikan me­nerima peruntukan terbesar da­am Bajet 2018 berbanding kementerian lain iaitu sebanyak RM45.9 bi­lion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Alias berkata, seba­nyak RM3.1 bilion bantuan diberikan kepada lebih 5.2 juta murid seluruh negara bermula daripada prasekolah hingga tingkatan lima.

Menurutnya, bantuan itu di­salurkan me­lalui 19 jenis bantuan persekolahan dalam tiga kategori utama iaitu bantuan umum, khusus dan bantuan sekali beri (one-off).

Tambahnya, bantuan umum adalah bantuan persekolahan yang diberikan kepada murid di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan bagi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Bantuan khusus pula adalah bantuan yang diberikan me­ngikut kelayakan seperti murid daripada keluarga miskin dan miskin tegar, murid Orang Asli, murid cemerlang dalam akademik atau sukan dan murid yang tinggal di asrama.

“Bagi bantuan se­kali pula diberikan kepada murid sekali setahun berdasarkan kri­teria ke­layakan iaitu Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan Bantuan Baucar Buku 1Malaysia,” katanya.

Sebanyak RM962.58 juta di­peruntukkan bagi bantuan umum, RM1.767 bilion untuk bantuan khusus manakala bagi bantuan sekali adalah sebanyak RM372.86 juta.

Alias berkata, Kementerian Pendidikan merupakan kementerian terbesar dari segi populasi iaitu mempunyai seramai 500,000 kakitangan termasuk guru dan bukan guru yang berkhidmat di seluruh negara.

Menurutnya, mereka ber­khid­mat di lebih 10,200 buah sekolah dan pejabat pendidikan daerah dalam menguruskan pelbagai hal berkaitan pendidikan.

“Ramai yang keliru mengenai pendidikan percuma. Daripada bantuan yang disalurkan sebenarnya pendidikan yang diberikan di negara ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” kata beliau.