Pengerusi Badan Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, penekanan pendidikan itu cukup jelas dilihat dalam Belanjawan 2018 apabila kerajaan mengumumkan pemberian insentif RM3,000 kepada anak Orang Asli yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi. 


“Sudah sampai waktunya kita gerakkan secara bersungguh-sungguh supaya masyarakat Orang Asli ini diberikan perhatian yang cukup penting.


“Kerajaan serius dalam memberikan bantuan dan tidak tertumpu pada soal pemberian peruntukan asas sahaja,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program UMNO Bantu Rakyat 2.0 bersama masyarakat Orang Asli Kampung Air Bah di sini hari ini.


Turut hadir Ketua Setiausaha BiKUM, Datuk Hang Tuah Din.


Pelbagai program dianjur bersama masyarakat Orang Asli seperti pemeriksaan dan bantuan perubatan dan pengunjung turut dihiburkan dengan tarian sewang dan persembahan nasyid dalam suasana santai.


BiKUM turut memberi sumbangan makanan serta kelengkapan lain selain mempertingkat bekalan air bersih di kawasan berkenaan. - UTUSAN ONLINE