Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, usaha memperkasakan kaum ketiga terbesar di Malaysia itu termasuk menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti seperti sekolah yang sempurna dan selesa.

Menurutnya, kerajaan komited dalam perkara tersebut malah turut akan meneruskan pembinaan enam Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil yang dilaksanakan sejak tahun lalu sehingga siap sepenuhnya.

"Saya telah membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan kerajaan bersetuju supaya SJK tidak kira Tamil mahupun Cina agar disiapkan tanpa diskriminasi walaupun kekurangan kewangan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat India Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G. Saminathan dan Timbalan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk R. Rajasekharan.

Kula Segaran yang juga Naib Pengerusi DAP berkata, dengan adanya sebanyak 525 buah SJK Tamil di seluruh negara, kebajikan masyarakat tersebut terutamanya dalam bidang pendidikan pasti tidak akan terabai.

Sementara itu, mengulas mengenai sokongan masyarakat India dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, beliau berkata, beliau yakin masyarakat India akan terus menyokong calon PH yang diketengahkan di kawasan tersebut.

"Keyakinan ini bersandarkan kepada lebih 80 peratus masyarakat India menunjukkan sokongan kepada PH dalam PRU-14 lepas," katanya. - UTUSAN ONLINE