Dalam hal berkenaan, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha untuk memastikan golongan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di negara ini mendapat akses dan keperluan prasarana pendidikan yang lengkap dan sewajarnya.

Bahkan usaha dan komitmen berterusan Bahagian Pendidikan Khas membangunkan golongan MBK terbukti tidak meletakkan mereka sebagai liabiliti sebalik­nya menjadi sebahagian daripada sumber modal insan negara.

Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan Pendidikan Khas sehingga kini melibatkan seramai 78,310 orang MBK dan keperluan terhadap akses pendidikan itu terus mening­kat dari semasa ke semasa ekoran tahap ke­sedaran ibu bapa yang semakin baik.

“Pendidikan Khas ini disediakan di 34 buah sekolah pendidikan khas (SPK), 2,284 sekolah harian biasa yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 5,884 sekolah harian yang melaksanakan Program Pendidikan Inklusif (PPI).

“Bahagian Pendidikan Khas bertanggungjawab menguruskan 28 buah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), dua buah Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) dan empat buah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV). Jumlah keseluruhan MBK di SPK adalah 2,396 orang.

“Secara keseluruhannya, kami memiliki sebanyak 1,264 guru di sekolah pendidikan khas; 13,396 guru terlatih di sekolah yang menawarkan PKPI dan kami juga memberikan latihan tambahan kepada guru di sekolah yang mempunyai PPI,” menurut kenyataan itu.

Sejak 1990-an, negara telah menunjukkan kemajuan pe­sat dalam program pendidikan khas dari segi penyediaan guru, pedagogi, penaik tarafan Jabatan Pendidikan Khas kepada Bahagian Pendidikan Khas serta pe­ryataan mengenai pendidikan khas yang terkan­dung dalam Akta Pendidikan 1996.

Selain itu, peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 yang me­rupakan pindaan daripada Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 yang diwartakan pada 5 Julai 2013 juga membantu memperjelaskan pelaksanaan pendidikan khas.

Menurut kenyataan itu, golo­ngan MBK dipecahkan kepada enam kategori iaitu kurang upaya pendengaran, peng­lihatan, pertuturan, fi­zi­kal, masalah pembe­lajaran dan kurang upaya pelbagai yang merupakan kombinasi dua atau lebih ketidak upayaan.

Dalam kategori masalah pem­belajaran, MBK terdiri daripada Sindrom Down, kurang upaya intelektual, Autisme, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajar­an spesifik seperti Disleksia.

“Kementerian Pendidikan akan berusaha menyediakan lebih ba­nyak peluang iaitu kemasukan MBK daripada peringkat prasekolah ke pe­ringkat lepasan menengah menjelang 2025.

“Selain kurikulum akademik, kementerian turut menawarkan aliran kemahiran dan vokasional kepada MBK yang tidak berupaya dalam aliran akademik.

“Kementerian juga akan memperkenalkan Program Transisi kepada MBK bermula seawal persekolahan, pendidikan rendah, menengah, vokasional sehinggalah ke peringkat memasuki alam pekerjaan,” menurutnya.

Katanya, PPPM 2013-2025 menggariskan penyertaan lebih ramai MBK dalam PPI menerusi kualiti penyediaan yang ditingkatkan secara menyeluruh sejajar dengan matlamat mempersiapkan murid-murid dengan realiti kehidupan.

“PPI di Malaysia dipacu de­ngan kerjasama mapan daripada pelbagai pihak berkepenting­an terma­suk keluarga, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi an­tarabangsa dan kerajaan,” kata­nya untuk menggalakkan interaksi MBK dengan murid normal.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian menitikberatkan ke­perluan prasarana untuk golongan MBK dengan melengkapkan sekolah-sekolah kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) meliputi kemudahan parkir OKU, susur landai (ramp), susur tangan (railing) dan tandas mesra OKU.

Melalui Inisiatif Pe­ningkatan Akses kepada Pendidikan Inklusif Berkualiti, Bahagian Pendidikan Khas juga mengatur pelbagai aktiviti untuk mencapai pendi­dikan inklusif yang ber­kesan setanding dengan negara-negara maju.

Dalam hal berkenaan, Bahagian Pendidikan Khas menggalakkan guru untuk menjadi pemikir pedagogi yang mampu merancang, membentuk dan menghasilkan pendekatan, proses pe­ngajaran dan pembelajaran yang dinamik dan inovatif.