Titah baginda, sehubungan itu, para guru dan ibu bapa haruslah memastikan para pelajar memperoleh pendidikan secara holistik.

“Aspek pendidikan ini bukan hanya melibatkan ilmu dan kemahiran semata-mata, malahan asuhan, didikan, bimbingan dan amalan nilai-nilai serta kasih sayang juga harus menjadi fokus utama agar pelajar mempunyai jati diri hebat,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad kali ke-44, 2018 di sekolah tersebut hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengetuanya, Shaharim Saad serta para pegawai kanan sekolah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah, tanggungjawab pendidikan tidak akan sempurna jika sepenuhnya diletakkan pada pihak pihak sekolah atau guru semata-mata.

“Maka sebab itu, ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pelbagai institusi lain juga seharusnya secara bersama menggalas tanggungjawab mewujudkan modal insan agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan sejagat,” titah baginda.

Antara para penerima anugerah-anugerah utama sekolah kali itu ialah Nur Hazwani Hasnan yang menerima Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra dan diikuti Muhammad Iffat Asyraaf Arizan (Anugerah Datuk Wan Ahmad).

Turut menerimanya ialah Anas Abdullah (Anugerah Pelajar Harapan) dan Haikal Azhar (Anugerah Tokoh Kokurikulum).

Selain daripada itu, turut menerima anugerah cemerlang bagi peperiksaan 2017 ialah empat orang pelajar yang mendapat 10A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), 33 orang pelajar yang memperolehi enam hingga 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta sembilan orang pelajar dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58-3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). - UTUSAN ONLINE