Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah berkata, di samping sebagai pewaris generasi negara pada masa depan, golongan belia hari ini merupakan mereka yang ‘perlu tahu, ambil tahu dan wajib tahu’ akan pengetahuan percukaian di negara ini.

“Sebarang inisiatif pendidikan mengenai percukaian ini adalah sejajar dengan cita-cita holistik kerajaan dalam memperkasakan generasi Z agar ‘celik cukai’ supaya usaha menuju Transformasi Nasional 2050 dapat direalisasikan dengan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem Cerdik Cukai (KCC) 2017 Ketujuh anjuran LHDNM dan Kementerian Pendidikan di Auditorium Akademi Percukaian Malaysia Bandar Baru Bangi, dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDNM, Datuk Mohd. Nizom Sairi.

Yang turut hadir, Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dr. Rusmini Ku Ahmad dan Pengarah Akademi Percukaian Malaysia, Asriah Shaari.

KCC yang bertemakan Memperkasa Generasi Celik Cukai Ke Arah TN50 ini melibatkan 250 peserta dari 50 sekolah menengah terpilih seluruh negara iaitu 200 pelajar Tingkatan Enam dan 50 guru pembimbing yang mengikuti pelbagai aktiviti mengenai percukaian.

Ini termasuklah Taxplore Race, aktiviti dalam bentuk Explore Race bertemakan percukaian dan peserta juga didedahkan dengan simulasi e-Filing.

Sabin berkata, sejak kem itu mula diperkenalkan pada 2011, ia berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia berusia 40 tahun ke bawah di negara ini untuk membayar cukai.

“Pada tahun taksiran 2016 sahaja seramai 1.6 juta pembayar cukai individu yang dikategorikan sebagai belia telah menjalankan tanggungjawab untuk menghantar Borang Penyata Cukai Pendapatan.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7.20 peratus berbanding tahun taksiran 2015 iaitu seramai 1.5 juta pembayar dan 1.4 pembayar pada tahun 2014,” katanya.

Menurutnya, dari segi amaun cukai yang disumbangkan golongan belia juga turut memberangsangkan iaitu RM6.551 bilion bagi tahun taksiran 2016, berbanding RM5.605 bilion pada 2015 dan RM5.353 bagi tahun 2014. - UTUSAN ONLINE