Baginda bertitah, sehubungan itu setiap individu Islam harus meletakkan maksud tertinggi yang akan memberikan makna yang besar kepada pendidikan.

“Pendidikan merupakan sesuatu yang ‘memaknai’ dan memberi kesejahteraan kepada kehidupan seseorang insan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri Program Hijrah Minda Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Ke-27 bagi 2017 di Masjid Wang Ulu, di sini semalam.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin yang diiringi anakanda bongsu baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor serta pegawai kanannya.

Seramai 20 anak kariah masjid berkenaan dan di kawasan sekitar menerima agihan zakat sebanyak RM300 yang diserahkan baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs.

Pada tahun ini, lebih daripada 500 keluarga asnaf menerima sumbangan MAIPs melalui program di masjid secara dwimingguan yang dihadiri sendiri oleh baginda.

Pada kesempatan sama, baginda berharap supaya pada tahun 2018, setiap jawatankuasa masjid di seluruh negeri membulatkan tekad dengan azam baharu untuk memastikan setiap masjid, surau dan tanah perkuburan Islam dalam kawasan kariah masing-masing sentiasa bersih.

“Ini bagi memastikan kesuciannya terpelihara sekali gus menimbulkan rasa ceria, tenang dan bukti kesungguhan kita mengamalkan ajaran Islam yang mementingkan aspek kebersihan dengan erti kata yang sebenarnya.

“Anak-anak jemaah dimohon tampil dengan idea baharu untuk memainkan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi menjayakan matlamat tersebut,” titah baginda.