Perdana Menteri berkata, memastikan anak-anak mendapat pendidikan berkualiti amat pen­ting bukan sahaja kerana mahu mereka berjaya dalam hidup, malah turut mempunyai nilai-nilai murni.

Justeru katanya, tidak hairan jika rakyat tanpa mengira kaum terutama masyarakat Cina semakin mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak dengan memastikan mereka mengikuti pem­belajaran sejak peringkat awal usia.

“Soal pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan masyarakat berbilang kaum terutama dalam komuniti Cina. Begitu juga kalau kita mahu berjaya dalam kehidupan, kita perlu ada pendidikan dan akses kepada pendidikan berkualiti.

“Sebab itu saya percaya pendidikan harus diberikan keutamaan dalam bajet kebangsaan dan saya sebagai Menteri Kewang­an telah meluluskan peruntukan RM50 juta untuk tujuan itu bagi tahun ini,” katanya ber­ucap merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No. 4 di Jalan Nanas, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh; Menteri Kerajaan Tempatan negeri, Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat dan Pengerusi Pembinaan Bangunan Baharu SJKC Chung Hua No. 4, Chai Voon Tok.

Dalam pada itu, Najib memuji kerjasama antara kerajaan Pusat, negeri dan masyarakat sehingga terbinanya bangunan sekolah yang cantik itu dalam tempoh masa singkat iaitu hanya empat bulan.

Katanya, kerjasama baik seumpama itu wajar dicontohi oleh sekolah-sekolah lain di negara ini.

“Saya kagum melihat sebuah bangunan lama bertukar menjadi cantik seperti ini dalam masa singkat hasil wang peruntukan berjumlah RM1.5 juta disalurkan oleh kerajaan Pusat manakala selebihnya RM800,000 disumbangkan oleh Abang Johari selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok diikuti sumbangan kontraktor (RM1.3 juta) dan kutipan dana komuniti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, anak-anak wajar digalakkan mahir menguasai pelbagai bahasa kerana memberi kelebihan kepada mereka pada masa hadapan.

Sebagai contoh katanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa, Mandarin mendekatkan penuturnya de­ngan China yang kini muncul me­nguasai pasaran ekonomi utama dunia manakala bahasa Melayu menggambarkan jati diri sebagai rakyat Malaysia dan memudahkan komunikasi antara kaum di negara ini.