Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, insiden kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Jumaat lalu mungkin berpunca daripada kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Sehubungan itu, kata beliau, ATM akan mengkaji semua SOP berkaitan proses siasatan dan penahanan melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya.

“Ini adalah kes terpencil. Penderaan adalah bukan satu budaya (dalam tentera) kerana kalau ia satu budaya, kes seperti ini berlaku hampir setiap hari. Namun begitu, kes sebegini sudah lama tidak berlaku dan kes terakhir adalah lima atau 10 tahun dahulu di Sungai Besi.

“SOP kita ada, tetapi masalah­nya ada yang tidak mengikut SOP. Dalam kes ini kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dengan teliti,” katanya kepada pembe­rita selepas menghadiri Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini.

Beliau mengulas kematian dua anggota TLDM, Laskar Kelas 1 Mohd. Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lai­latuliman Mohd. Sukri, 26, di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Ipoh yang dipercayai didera.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya percaya terdapat kecuaian dan unsur jenayah dalam kes kematian dua anggota TLDM tersebut serta mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pada saya, masih terlalu awal untuk bercakap apa-apa tentang perkara ini. Kita kini sedang menyiasat dan mengambil kenya­taan daripada pihak terlibat dalam insiden ini,” katanya.