Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, golongan pendeposit tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa penyelewengan yang berlaku kerana mereka hanya menerima hibah berkenaan.


“Bagi mereka yang menerima mereka tidak tahu apa penyelewengan yang berlaku dan telah diberikan hibah itu, jadi tidak perlu untuk membayar baliklah apa... Itu akan menimbulkan kesukaran.


“Jadi Itu bukan masalah orang yang menerima tetapi masalah pengurusan. Apa kita buat adalah untuk memperbaiki pengurusan itu pada masa ke depan ia ikut cara yang betul,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar di sini hari ini.


Mujahid sebelum ini mendakwa pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 hingga 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.


Namun perkara itu disanggah oleh bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyifatkan perkara itu sebagai tidak tepat.


Dalam pada itu, ditanya berhubung peningkatan kes restoran bukan Islam menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran, Mujahid menjelaskan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memantau semua tempat seumpama itu dan akan mengenakan tindakan bersesuaian berlandaskan undang-undang.


Langkah itu katanya, akan dilakukan bersama agensi-agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


“Memang kita ada mekanisme menanganinya iaitu laporan daripada orang ramai dan kita ada penguatkuasa untuk dengar aduan. Setelah itu kita akan bertindak dengan fakta yang jelas bersama kementerian-kementerian lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE