Tinjauan Utusan Malaysia di Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak di sini hari ini mendapati masih ramai pendeposit membuat simpanan wang ke akaun mereka walaupun masalah agensi itu hangat disensasikan pihak tertentu dalam media sosial.

Menurut seorang pendeposit, Zainun Tun, 53, dia yakin wang simpanannya selamat dan terjamin di bawah Tabung Haji dan menganggap isu defisit yang hangat diperkatakan sebagai cubaan memburukkan agensi tersebut.

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tabung Haji telah difitnah oleh seorang ahli politik sehingga menyebabkan lebih 3,000 pendeposit menutup akaun mereka dan hilang kelayakan menunaikan haji termasuk kehilangan tahun giliran menunaikan ibadah itu.

“Saya berharap kerajaan memastikan masalah Tabung Haji tidak diguna sebagai modal politik oleh pihak tertentu. Jangan cetuskan panik dalam kalangan pendeposit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Menara Tabung Haji di sini.

Sementara itu, Zainun berkata, dia hairan apabila banyak agensi serta institusi melibatkan Islam dan bumiputera dilanda pelbagai masalah selepas PRU-14.

Katanya, perkara itu menimbulkan banyak persoalan kerana seolah-olah ada cubaan untuk melemahkan agensi serta institusi Islam dan bumiputera. - UTUSAN ONLINE