Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penggunaan bahasa Melayu harus meresap dalam diri pengguna, bukan sekadar menghiasi kain rentang atau gegantung.

Menurutnya, dinamika bahasa Melayu akan terjelma dengan sendiri apabila ia digunakan secara bersungguh-sungguh, bukannya sambil lewa.

“Bahasa Melayu semakin terpiuh daripada trajektori asal, bukan sahaja hilang peranan sebagai lingua franca di rantau ini malah diperkelekehkan di bumi sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (Pulara) kali Kelapan di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi; Pengerusi Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman Pulara dan Sasteraawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Dalam majlis tersebut, Zambry turut mendeklamasi puisi nukilannya yang bertajuk Azan Gemamu Melambaiku.

Menurut Zambry, ternyata program Bulan Bahasa Kebangsaan yang dimulakan sejak tahun 1960-an dan dijenamakan semula sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara belum membuahkan hasil untuk mengangkat bahasa Me­layu sebagai bahasa ilmu.

Beliau berkata, sehubungan itu sesuatu perlu dilakukan sebelum bahasa Melayu menjadi bahasa cacamarba.

“Penggunaan bahasa Melayu harus terus relevan. Kita harus menentang gerombolan pihak yang memanipulasikan bahasa dan budaya bangsa, iaitu mereka yang kurang faham tentang jati diri dan identiti bahasa,” katanya.

Menurut Zambry, dalam konteks Pulara, penyertaan ahli akademik, guru, penyair, saste­rawan, remaja dan individu dalam bidang seni mampu me­ngangkat bahasa

Melayu secara proaktif untuk menjamin masa depan bahasa itu.

Katanya, bahasa Melayu merupakan bahasa kelima terbesar di dunia dengan lebih 300 juta penutur yang sudah cukup untuk memartabatkannya.

“Dalam isu bahasa, kita tidak harus bersikap apologetik atau merendah diri malah berbangga dengannya,” katanya.