Beberapa siri laporan yang berbentuk penyiasatan, pendedahan dan penulisan berkaitan teknologi menjadi antara hasil-hasil pemberitaan yang diiktiraf mengikut kategori masing-masing di dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2016.

Laporan bertajuk Penganuge­rahan dan penerimaan gelaran palsu yang dilaporkan oleh Penolong Pe­ngarang Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar bersama Penolong Ketua Me­ja Jenayah, Mohammad Yasir Jaa­far berkisar kepada pembongkaran kegiatan individu dan kumpulan dalam menganugerahkan pi­ngat dan darjah kebesaran palsu di negara ini, telah menjadi Pemenang Bersama Kategori Laporan Berita Cemerlang dengan hadiah tunai RM5,000 berserta trofi dan sijil.

Pendedahan itu membongkar modus operandi individu serta kumpulan terbabit yang mengelarkan diri mereka ‘Sultan’, ‘Ratu’, ‘Agong’ serta ‘Maharaja’ dengan melakukan urusan jual beli gela­ran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ palsu.

Hasil pendedahan itu, Kerajaan Negeri Selangor, Melaka, Perak serta Kerajaan Persekutuan meminda dan meluluskan Enakmmen Lambang-lambang serta Rang Undang-undang masing-masing bagi mengekang aktiviti penganugerahan gelaran palsu itu.

Wartawan Meja Jenayah, Mas­zureen Hadzman melalui laporan antaranya bertajuk Pembolosan KLIA dan KLIA2 telah membolehkan beliau diisytiharkan sebagai Pemenang Bersama Kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 bersama sijil dan trofi.

Laporan itu mendedahkan sebanyak 10 warga asing dipercayai keluar menggunakan pasport palsu di kedua-dua lapangan terbang itu setiap hari sejak awal tahun ini, susulan penahanan dua pegawai imigresen bersama 17 individu lain dalam satu operasi khas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Masalah di pintu-pintu utama negara mendapat reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang men­­­dedahkan kira-kira 100 orang me­rangkumi pegawai-pegawai imi­­­g­re­sen disiasat pihak berkuasa kerana melakukan sabotaj terhadap Sistem Imigresen Malaysia (myIMMS).

Karya Pengarang Berita Utusan Malaysia, Saiful Haizan Hasam bertajuk Perhambaan dunia mo­den terhadap pekerja haram Malaysia di ladang-ladang Australia berjaya memenangi hadiah sagu hati bagi kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang dengan hadiah tunai RM1,000 dan sijil.

Siri laporan khas selama tujuh hari itu adalah mengenai nasib pekerja haram dari Malaysia yang bekerja di ladang-ladang buah di Australia, dengan majoriti daripada mereka merupakan mangsa manipulasi dan ‘perhambaan era moden’ oleh ejen-ejen di tanah air dan orang tengah di negara itu.

Ketua Unit Meja Sains dan Teknologi Utusan Malaysia, Laupa Junus berjaya memenangi Kategori Penulisan Rencana Cemerlang menerusi penulisannya mengenai teknologi bantu mangsa banjir, teknologi bantu Orang Asli dan teknologi satelit cari ikan yang melayakkan beliau menerima tunai RM10,000 bersama sijil dan trofi.

Kosmo! iaitu akhbar di bawah Kumpulan Utusan, turut berjaya merangkul Kategori Kartun Editorial Terbaik melalui kartunisnya, Kamarul Khazim Sulaiman dengan berjaya membawa hadiah tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil penghargaan, manakala kartunis Utusan Malaysia, Nor­ka­maro Mohd. Noor berjaya mene­rima hadiah sagu hati berupa tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Dalam MWM 2017 itu juga, sekumpulan enam wartawan dari­pada akhbar The Star dipilih sebagai pemenang Hadiah Kajai ia­itu anugerah tertinggi Hadiah Ke­war­tawanan Malaysia MPI PETRONAS 2016 menerusi laporan mereka ber­kaitan jenayah seks terhadap ka­nak-kanak, yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub dipilih sebagai pemenang Anugerah Tokoh Media dalam majlis berkenaan.