Pendebat Bahasa Arab USIM dibarisi oleh Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Anis Amirah Zakaria, Nur Akma Mohd Dali dan Muhammad Syafiq Suhaimi yang merupakan pelajar jurusan Undang-Undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Bertanding dalam kategori bukan penutur asal Bahasa Arab bersama 30 buah pasukan debat universiti dari pelbagai negara, pendebat USIM beraksi cemerlang apabila menang semua perlawanan di peringkat pusingan. Mereka menewaskan pasukan debat dari Deakin University, Australia; German Europe Institution, German; Meridian Atuluku, Turkey; Universiti Islam Indonesia; Indonesia dan University or Real Madrid, Sepanyol. Manakala, peringkat akhir mereka bertemu pendebat dari University Sciences Po Parissa, Perancis.

“Berjaya mara sehingga ke pentas akhir dalam kejohanan debat bahasa Arab paling berprestij ini sebenarnya sudah melakar satu kejayaan besar buat universiti dan negara kerana saingannya amat hebat. Kami berjaya mengekalkan momentum persembahan dan fokus terbaik pada setiap perlawanan dari peringkat awal sehingga akhir”.

“Tekanan itu memang ada tetapi kami dapat mengawalnya hasil latihan intensif individu dan berkumpulan, pembacaan, perlawanan debat persahabatan serta pengalaman menyertai pertandingan debat sebelum ini.

“Ini kejayaan yang manis bagi kami dan jurulatih, Ahmad Norsyafwan Norwavi yang turut bersama dengan kami di sini kerana berjaya menggalas kepercayaan yang diberikan oleh universiti. Terima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan rakan-rakan Kelab Debat USIM atas doa dan sokongan yang diberikan” ujar Muhammad Syafiq.

Selain itu, salah seorang pendebat USIM iaitu Nur Akma turut disenaraikan di ranking kedua pendebat terbaik kesuruhan IUADC 2017. Kejayaan di Doha, Qatar merupakan kejayaan kedua diraih pasukan debat Bahasa Arab USIM diperingkat antarabangsa pada tahun ini selepas dinobatkan sebagai juara Debat Bahasa Arab Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi ASEAN di Kampus USIM, Nilai pada awal bulan ini. Sebagai naib juara, pendebat USIM menerima hadiah berupa piala dan sijil penghargaan dari penganjur iaitu Qatar Debate.

Dalam pada itu, pendebat bahasa arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diwakili oleh Abdul Rahim bin Ellias, Mohamad Ikmal Hakimi bin Mohamad Helni, Muhammad Nazri bin Rostam dan Muhammad Nurfirman bin Mohamed turut membanggakan negara dengan muncul naib johan dalam kategori terbuka.

IUADC yang diadakan secara dwi tahunan ini telah memasuki edisi ke empat sejak mula dianjurkan pada 2011. Pertandingan yang bermula sejak 8 April lalu yang berakhir semalam melibatkan 86 buah pasukan dari 46 buah negara menyertai IUADC pada edisi kali ini. - UTUSAN ONLINE