Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program baik pulih tersebut membabitkan sebanyak 612 pusat tahfiz berdaftar dan 721 lagi melibatkan pusat tahfiz yang tidak berdaftar.

Setakat ini, sebanyak 442 daripada keseluruhan 721 pusat tahfiz tidak berdaftar telah selesai dilakukan penambahbaikan pendawaian elektrik termasuk dilengkapi ciri-ciri ke­selamatan me­lalui peruntukan sebanyak RM30 juta pada tahun lalu, katanya.

Ujarnya, bermula Febuari ini, program baik pulih tersebut akan dilaksanakan melibatkan 612 pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara melalui peruntukan khas di bawah Bajet 2018 berjumlah RM50 juta.

“Kita melihat 721 pusat tahfiz yang belum mendaftar itu perlu segera dilaksanakan proses pendawaian elektrik dan dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan seperti menyediakan pemadam api, membina pintu keselamatan dan laluan kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Maahad Tahfiz Al-Hikmah Lilbanat (Perempuan), di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan pengetua maahad tahfiz ber­kenaan, Mohd. Rohim Kamis.

Dalam lawatan itu, Ismail turut meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar tahfiz dan meninjau kerja-kerja penyelenggaraan pendawaian elektrik oleh pelatih GIATMARA di maahad tersebut.

Menurut Ismail Sabri, sebahagian daripada pusat tahfiz yang tidak mendaftar dikesan masih belum membenarkan kerajaan untuk membantu membaik pulih dan melaksanakan program pe­nambahbaikan pendawaian elektrik di premis mereka atas faktor perbezaan fahaman politik.

Justeru beliau berharap, pusat tahfiz terbabit agar segera memberi kebenaran kepada kerajaan untuk membantu mereka demi keselamatan pelajar.

“Masih banyak pusat tahfiz tidak membenarkan kita ma­suk, mungkin disebabkan aliran politik berbeza. Ada sesetengah daripada mereka menggangap kerajaan hendak ambil alih pusat tahfiz tersebut sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

“Kita lihat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri tidak berfikiran sebegitu. Apa yang penting ialah ke­selamatan para pelajar perlu diberi keutamaan. Perdana Menteri tidak mahu tragedi di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (di ibu negara) yang mengorbankan 23 nyawa tidak berulang,” katanya.