Beliau berkata, pendapatan isi rumah bulanan purata bagi Malaysia pula meningkat 6.2 peratus kepada RM6,958 pada 2016 daripada RM6,141 semasa 2014.
“Walaupun pendapatan isi rumah penengah dan purata itu meningkat lebih tinggi pada 2016, ia bagaimanapun bergerak pada kadar sederhana disebabkan pres­tasi ekonomi yang lebih rendah berbanding 2014,” katanya semasa melancarkan Statistik Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2016 di sini, hari ini.
Pendapatan isi rumah bulanan purata bagi kumpulan berpendapatan  40 peratus pertengahan (M40) merekodkan kadar pertumbuhan tahunan tertinggi iaitu 6.9 peratus kepada RM6,502 pada 2016 daripada RM5,662 pada 2014.
Keseluruhannya, pendapatan isi rumah bulanan purata bagi semua kumpulan iaitu berpendapatan 40 peratus rendah, M40 dan kumpulan berpendapatan 20 peratus tinggi masing-masing meningkat 6.6 peratus, 6.9 peratus dan 6.2 peratus pada 2016 daripada 2014.
Tujuh negeri merekodkan pendapatan isi rumah bulanan penengah yang melebihi paras nasional (RM5,228) iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM9,073) di­ikuti Wilayah Persekutuan Putrajaya(RM8,275), Selangor (RM7,225), Wilayah Persekutuan Labuan (RM5,928), Johor (RM5,652), Melaka (RM5,588) dan Pulau Pinang (RM5,409).
Dari segi pengagihan pendapatan, Mohd Uzir berkata, Pekali GINI menurun kepada 0.399 peratus pada 2016 daripada 0.401 peratus pada 2014, dan ia menunjukkan pengagihan pendapatan isi rumahrakyat Malaysia bertambah baik.
Pekali GINI - satu daripada indikator yang digunakan untuk mengukur tahap ketidaksamaan agihan pendapatan dalam  masyarakat, berada pada sifar menandakan keseimbangan yang terbaik, dengan kesemua nilai adalah sama (contohnya setiap individu mempunyai pendapatan yang sama).
Nisbah ketidaksamaan pendapatan juga meningkat, dengan nisbah antara luar bandar dan bandar adalah 1:1.76 pada 2016 berbanding 1:1.78 pada 2014.
Insiden kemiskinan keseluruhan bertambah baik dengan mencatat penurunan kepada 0.4 peratus pada 2016 daripada 0.6 peratus pada 2014.
Ketika membentangkan hasil dapatan, Mohd Uzir berkata, kajian itu turut meliputi data daripada peringkat daerah.
“Buat kali pertama, kami merangkumi data daripada daerah semua negeri. Ia boleh digunakan untuk membantu kerajaan negeri, pejabat daerah dan pertubuhan merancang serta menangani isu pembangunan sosial dan ekonomi secara lebih cekap,” katanya.
Sementara itu, dari segi perbelanjaan peng­gu­naan isi rumah, rakyat Malaysia mem­belanjakan secara purata RM4,033 setiap bulan, meningkat 6.0 peratus daripada RM3,578 sebulan pada 2014.
“Hampir 70 peratus dibelanjakan untuk empat kumpulan utama iaitu perumahan, air, elek­trik, gas dan bahan api lain (24 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (18 peratus); pe­ngangkutan (13.7 peratus); serta restoran dan hotel (13.4 peratus).
“Senario ini adalah seiring dengan komposisi corak per­be­lan­jaan negara maju.
“Memandangkan persekitaran ekonomi yang mencabar dan ketidaktentuan harga barangan di dalam negara, ini memberi kesan ke atas pendapatan dan perbelanjaan rakyat Malaysia yang positif.
“Ia menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan yang baik untuk mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050, walaupun mencatatkan kadar inflasi lebih tinggi pada 3.5 peratus pada Ogos,” katanya.
Siri laporan kajian ke-18 melibatkan 85,400 premis isi rumah di seluruh negara itu dijalankan dari Mei 2016 hingga April
2017. – BERNAMA