Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Abdul Ghafar Don berkata, ada di antara pendakwah asing itu mempunyai kepentingan tertentu untuk cuba ‘mengindoktrinasi’ dengan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam.

“Jika dibawa aliran pemikiran dan fahaman yang bercanggah dengan Islam, sudah tentu ia merupakan ancaman kepada akidah umat Islam di negara ini yang secara jelas berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Mungkin mesej dakwah yang disampaikan tersasar daripada aspirasi tempatan dan juga dari sudut ajaran Islam itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah beliau, ada masyarakat Islam negara ini mudah terpengaruh dengan ajaran yang dibawa oleh pendakwah asing. Antaranya mungkin berpunca cetek Islam, tertarik dengan dakwaan kononnya mengikut ajaran yang dibawa cepat masuk syurga dan juga kelemahan penguatkuasaan.

“Tidak semua aliran tarekat ha­ram. Namun ada aliran-aliran yang bercanggah dengan Islam. Pengamalan seperti zikir menari misalnya berpunca daripada ketidakfahaman tentang kaedah zikir yang betul. Mereka yang terikut-ikut kerana kejahilan mempercayai apa dibawa oleh sheikh adalah benar,” jelasnya

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr. Muhammad Lukman Ibrahim pula berpendapat, kecenderungan masyarakat yang mudah terpesona dan lebih mengutamakan perkara luar merupakan faktor mengapa di sesetengah majlis keagamaan, penganjur memilih untuk menjemput penceramah asing.

“Contoh mudah imam tarawih, ramai qari kita lebih baik diambil menjadi imam tetapi dari negara Arab juga yang dipilih walaupun mereka biasa-biasa sahaja. Para ilmuwan Melayu terkadang menulis puluhan judul buku namun dipandang sepi,” katanya.

Mengulas situasi masyarakat Islam mudah terpengaruh dengan ajaran yang tidak mereka ketahui, panel program Tanyalah Ustaz itu berkata, dakwah perlu menurut asas Rasulullah SAW dan kepelbagaian kaedah mesti dinilai mengikut ajaran baginda.

“Sekiranya ia tidak dibuat oleh nabi dan sahabat bahkan para salaf as-soleh, maka jauhilah. Metod dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sudah ada kepelbagaiannya kepada golongan sasar dakwah.

“Justeru, kita harus berpegang kepada akidah yang muktabar iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kalau ada perkara yang pelik, rujuklah kepada al-Quran dan sunnah,” jelasnya.