Peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd. Amin berkata, siasatan proprio motu itu akan dibuat berdasarkan maklumat jenayah yang berada di dalam bidang kuasa ICC.

Katanya, hal ini boleh dilakukan kerana telah terdapat banyak laporan yang membuktikan wujud jenayah kemanusiaan terhadap penduduk Rohingya.

“Di peringkat organisasi masyarakat sivil pula, tekanan berterusan akan diberikan terhadap Myanmar khususnya melalui Tribunal Awam Tetap terhadap Myanmar yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 18-22 September ini.

“Saksi-saksi dan bukti-bukti jenayah terhadap Rohingya akan dikemukakan kepada tidak kurang sembilan panel hakim dari seluruh dunia dan keputusannya kelak bakal menambah tekanan terhadap rejim Myanmar atas jenayah yang dilakukan selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, portal The Guar­dian yang memetik Pejabat Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, Myanmar bertindak menyekat kemasukan semua agensi yang menyalurkan bantuan penting kepada beribu-ribu orang awam antaranya makanan, air dan perubatan ke kawasan bergolak.

Bantuan itu disekat atas alasan keselamatan selain peraturan ketat kerajaan terhadap sebarang lawatan ke tempat kejadian.

Kakitangan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Dana Populasi PBB (UNFPA) dan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa PBB (UNICEF) telah lebih seminggu tidak me­ngendalikan sebarang tugas di utara Rakhine.

Program Makanan Sedunia (WFP) turut memaklumkan pihaknya terpaksa menangguhkan agihan makanan menyebabkan hampir 250,000 penduduk di kawasan terbabit tidak mempunyai sebarang bantuan makanan dan berdepan kebuluran.

Tambah Azril, arah dan masa depan Rohingya ternyata menjadi semakin kelam kerana selepas lebih 30 tahun menderita dan dilayan begitu buruk, dunia masih gagal bertindak menangani kekejaman yang dilakukan terhadap etnik tersebut.

Melihat pada kedegilan Myan­mar, katanya, rejim tentera Myan­mar bertindak seperti Israel yang sering melanggar undang-undang antarabangsa serta tidak mempedulikan kemanusiaan dengan menyukarkan pemberian Visa kepada pasukan pencari misi PBB sebagaimana yang telah diberi mandat melalui resolusi Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 24 Mac lalu.

“Di peringkat ASEAN dan OIC, tidak wujud sebarang meka­nisme untuk membawa Myanmar ke muka pengadilan. Walaupun prinsip tidak campur tangan digantung dalam situasi ini, ASEAN tidak mempunyai pasukan tentera pengaman untuk dihantar ke Rakhine bagi menghentikan pembunuhan.

“Manakala Myanmar tidak me­ratifikasi Statut Rom yg membolehkan negara tersebut dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Pilihan yang ada tidak boleh melalui Majlis Keselamatan PBB kerana Amerika Syarikat dan China pasti mengundi secara veto untuk menolak sebarang penyiasatan atau pendakwaan ICC terhadap Myanmar,” ujarnya.