Pengiktirafan itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin semasa pelancaran Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) Travel Fair, di sini hari ini.

Mohd. Noor berkata, beliau amat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan dan menambahkan semangatnya untuk meneruskan usaha mencipta rekod-rekod yang ganjil (rare).

“Ini merupakan kali ketujuh nama saya dicatatkan dalam MBOR. Ini berikutan pencapaian saya pada Mei lalu yang berjaya mendaki tujuh puncak Banjaran Himalaya.

“Rekod yang saya berjaya cipta ini bukan hanya untuk diri sendiri tetapi membawa sekali nama Malaysia. Kejayaan ini juga bukan untuk saya secara individu tetapi pelbagai pihak termasuklah keluar­ga yang banyak menyokong usaha serta minat saya selama ini,” katanya.

Tujuh puncak Banjaran Himalaya yang berjaya didaki Mohd. Noor adalah Nargajun setinggi 5,100 meter, Gokyo RI (5,357 meter), Chola-La Pass (5,420 meter), Chukung RI (5,550 meter), Kongma La Pass (5,500 meter), Khalapattar (5,550 meter) dan Kem Pangkalan Everest (5,364 meter).

Selain itu, enam rekod terdahulu Mohd. Noor yang terpahat dalam MBOR ialah Projek Malaysia-Everest 1997, pendakian solo sempena kemerdekaan negara ke 50 tahun puncak Gunung Kinabalu (2007), pendakian tangga tanpa henti selama 24 jam Menara Kuala Lumpur (2008), pendakian solo 111 kali Gunung Kinabalu 1Malaysia (2009-2010), DRB-Hicom Mission 57Y57H (2014) serta pendakian turun naik Menara Kuala Lumpur selama 24 jam pada tahun 2016 lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Noor berkata, beliau juga dijangka menerima pengiktirafan Asia Book of Records untuk kejayaan mendaki tujuh puncak Banjaran Himalaya dan juga pendakian turun naik Menara Kuala Lumpur selama 24 jam.