Beliau lebih dikenali sebagai Adam terpaksa mengambil masa selama tujuh jam untuk sampai di puncak setinggi 884 meter itu selepas memulakan pendakian pukul 2.45 pagi dengan hanya menggunakan kedua-dua belah tangan.

Turut mengiringi beliau, seramai 40 peserta lain daripada Team Anak Gunung dan juga sukarelawan yang turut terpaksa meredah hujan menelusuri trek yang licin sepanjang pendakian sehinggalah ke puncak gunung.

Menurut Adam, pendakian ke puncak Gunung Datuk itu amat bermakna sekali kerana sekali gus dia dapat menyambut hari lahir yang ke-26 tahun.

“Pendakian yang dilakukan ini adalah salah satu latihan untuk menawan Everest Base Camp (EBC) di Banjaran Himalaya, Nepal setinggi 5,364 meter dijangka pada bulan Mac ini.

“Namun, kesukaran mendapat penajaan adalah masalah utama untuk menjayakan misi ke EBC nanti, apa pun, saya yakin akan dapat penajaan dan seperti biasa, latihan tetap diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Adam yang menghidap penyakit polio (cacat kedua-dua belah kaki) sejak dilahirkan giat melakukan latihan sebagai persedian selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada Oktober 2016 dan telah mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Books of Record.

Beliau yang berasal daripada Kuching, Sarawak merupakan anak keempat daripada sembilan adik beradik berazam untuk membuktikan golongan OKU juga boleh bergiat aktif dalam sukan lasak seperti mendaki gunung.

Beliau mendapat bimbingan daripada Team Anak Gunung dan sehingga kini berjaya melakukan pendakian lebih daripada sepuluh gunung dan bukit, antaranya Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi, Gunung Angsi, Gunung Datuk, Bukit Tabur dan Bukit Batu Putih. - UTUSAN ONLINE