Contoh pendakian yang memakan masa beberapa hari adalah gunung-gunung V1, V2, Chamah dan Ulu Sepat. Kesemua gunung itu tidak sesuai didaki secara day trip. Banyak faktor yang perlu diambil kira terutama keselamatan, ketahanan diri, dan kesihatan.

Pengawas Hutan di Jabatan Perhutanan Perak yang juga seorang pemandu arah gunung, Ayieen Carlos Ng Ismail, 49, berkata, mendaki cara itu mengundang pelbagai risiko.

Katanya, bila buat day trip untuk perjalanan yang panjang, maka banyak faktor tidak diberi perhatian atau langsung tidak difikirkan terutama keselamatan diri.

“Rakan sependakian akan diabaikan kerana mahu memburu masa yang telah ditetapkan penganjur. Yang lambat dan lemah tertinggal jauh di belakang. Yang kuat di hadapan dan kalau boleh, mahu cepat-cepat keluar dari hutan,” katanya kepada S2.

Menurutnya, antara faktor yang mendorong pendaki day trip adalah tiada cuti panjang dan demi menunaikan janji terhadap kawan untuk bawa mereka ke puncak. Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan kerana keselamatan diri lebih penting.

Ayieen yang berpengalaman 30 tahun mendaki berkata, kekurangan maklumat daripada penganjur mengenai tahap kesukaran trek pendakian dan jarak sebenar perjalanan ke puncak menyebabkan peserta terpaksa berjalan malam, malah ada yang sampai subuh.

“Tanpa maklumat tepat, peserta menganggap trek yang akan dilalui mudah. Jadi, mereka tidak akan buat persiapan termasuk tidak membawa makanan dan air yang cukup. Sedangkan, perjalanan sebenar memakan masa yang lama serta menuntut stamina dan mental yang kuat,” tambahnya.