Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, pihaknya hanya menerima pendaftaran melalui kaedah yang diguna pakai ketika ini iaitu memerlukan individu hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer selain melalui Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik SPR.

Menurut beliau, setelah pendaftaran dibuat, pemohon sepatutnya menerima salinan Borang A bagi urusan sekiranya tuntutan permohonannya tidak diterima atau diproses oleh SPR.

“SPR ingin memberi peringatan kepada mana-mana PPP yang dikesan menjalankan kaedah pendaftaran dengan melanggar Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 ini, SPR tidak akan teragak-agak untuk menamatkan pelantikan mereka itu serta-merta.

“Malah mana-mana PPP yang didapati menjalankan pendaftaran pemilih dengan kaedah itu juga boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana telah memalsukan tanda tangan pemohon,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan pihak-pihak tertentu menyebarkan maklumat kononnya pendaftaran pemilih boleh dilakukan secara online atau melalui aplikasi media sosial dengan hanya menghantar gambar MyKad mereka ke nombor talian telefon tertentu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan mesej seperti yang ditularkan itu kerana dibimbangi maklumat peribadi mereka akan disalahgunakan untuk tujuan lain oleh pihak terbabit.

Pada masa sama, beliau me­nyarankan kepada warganegara yang masih belum mendaftar sebagai pemilih agar mengambil peluang mendaftar dengan segera tanpa menunggu di saat akhir atau disebabkan mana-mana mesej tular tertentu sahaja.

“Mendaftar sebagai pemilih dan mengundi semasa pilihan raya adalah tanggungjawab sebagai seorang warganegara,” katanya.