Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau sendiri membawa kira-kira 100 orang dari kawasannya iaitu Batang Sadong Sarawak bagi membolehkan mereka mempelajari pelbagai kemahiran dan membawa pulang produk-produk pertanian untuk dimanfaatkan.

“Mereka diberikan tugasan, bukan datang untuk suka-suka dan berharap mereka akan menjadi petani moden yang berjaya hasil kunjungan ke MAHA ini.

“Jika bukan untuk tujuan komersial, untuk diri sendiri sudah cukup baik,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Laman ‘Flora World’ dan Pe­nyampaian Sijil Malaysia Book Of Records ‘Lanskap Taman Terpanjang Menggunakan Bahan-bahan Terbuang’ di Laman Florikultur, Tapak Ekspo Pertanian (Maeps) sempena MAHA 2016, di Serdang dekat sini, hari ini.

Nancy kagum dengan usaha-usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjayakan MAHA 2016 yang memasuki hari kedua hari ini dengan menjanjikan pelbagai kelainan yang sangat menarik perhatian pengunjung.

“Ini termasuk kerjasama bijak dengan membawa watak kesukaan kanak-kanak Upin dan Ipin bagi menarik minat golongan muda, remaja dan kanak-kanak untuk mengenali persekitaran pertanian moden sebagai asas yang baik untuk membolehkan mereka menceburkan diri dalam bidang pertanian,” katanya.

Yang turut hadir Ketua Pe­ngarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek dan Timbalan Pengarah (Bahagian Kejuruteraan), Jabatan Pertanian Serdang, Airun Asniza Khairudin.

Sementara itu, Airun Asniza berkata, buat kali kedua Jabatan Pertanian mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records kerana berjaya menghasilkan arca sepanjang 106 meter daripada bahan-bahan terpakai termasuk struktur pintu dan tingkap yang dihiasi bunga-bungaan dan tanaman herba. 

“Kali pertama ialah pada 2014 berkonsepkan barangan terpakai yang boleh dijadikan elemen hiasan dalam taman, di samping kali ini terdapat pelbagai lagi arca berbentuk dinosaur, kumbang Lady Bird dan kereta lembu di Laman ini,” katanya.